Siasat segera dakwaan Hamzah isu 'fail kerajaan' - Mohd Yusoff

Laporan Sinar Harian pada 12 Mac. Gambar kecil: Mohd Yusoff
Laporan Sinar Harian pada 12 Mac. Gambar kecil: Mohd Yusoff
A
A
A

GEORGETOWN - Kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa beliau mempunyai fail kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan sekarang disifatkan sebagai kurang cerdik.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff berkata, dakwaan bekas Menteri Dalam Negeri itu perlu diambil serius dan disiasat kerana ia membabitkan keselamatan negara.

Menurutnya, dengan dakwaan tersebut, Hamzah dilihat tidak amanah dengan tanggungjawab semasa menjawat kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Bagi saya, kenyataan Hamzah yang kurang cerdik ini mengundang perkara yang perlu diambil perhatian dan disiasat. Ini kerana dakwaan seumpama itu sangat serius serta membabitkan keselamatan negara.

"Sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau tidak seharusnya melindungi penjenayah malah semua fail berkenaan sepatutnya di bawah bidang kuasa pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Hamzah nampaknya tidak melaksanakan amanah sebagai menteri kabinet seperti yang dilafazkannya ketika mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, saya mendesak agar beliau disiasat kerana dakwaannya itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mendesak agar pihak berkuasa memanggil Hamzah dan menjalankan siasatan segera.

"Siasatan perlu dijalankan untuk mengesahkan dakwaan Hamzah itu benar atau sebaliknya. Jika dakwaan itu benar, mereka yang melakukan kesalahan terbabit tidak harus dibiarkan bebas.

"Bagaimanapun jika ia tidak benar, Hamzah harus dikenakan tindakan di bawah kesalahan akta rahsia rasmi kerana memutar belit fakta," katanya.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang baru-baru mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.

Menurut Hamzah, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.

Hamzah berkata, beliau juga ada banyak fail pemimpin kerajaan, namun beliau menegaskan masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Begitupun, tegas Hamzah, jika kerajaan terus mengganggu Perikatan Nasional dan membuat mereka kecewa, tidak mustahil fail-fail tersebut akan didedahkan.

Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini.