Kajian NASP KXP belum dimuktamadkan - Anthony

Anthony - Foto Bernama
Anthony - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) berhubung cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk kebenaran aerodrom bagi pembangunan di bawah projek Kedah Aerotropolis itu.

Justeru, katanya, tidak timbul soal kerajaan menolak cadangan pembangunan projek tersebut.

"Kelulusan yang diberikan Majlis Perancangan Fizikal Negara sebelum ini hanyalah secara prinsip dan ia perlu disusuli dengan permohonan untuk mendapatkan aerodrom kepada Menteri Pengangkutan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai perkembangan terkini kajian NASP terhadap pembangunan KXP dan Kedah Aerotropolis.

Menjawab soalan asal Azman berhubung peranan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan projek tersebut diteruskan, Anthony berkata, beberapa siri perbincangan dan mesyuarat telah diadakan dengan pihak kerajaan negeri Kedah bagi memperincikan cadangan pembangunan KXP.

Beliau berkata, kementerian telah memaklumkan kepada pihak pemaju dan kerajaan negeri Kedah bahawa cadangan projek pembangunan KXP adalah tertakluk kepada kajian NASP.

"Setakat ini, surat yang pernah dikemukakan oleh kerajaan negeri Kedah kepada kementerian adalah surat bertarikh 3 Jan 2021 supaya kementerian memberikan kebenaran kepada pembangunan projek KXP dan Kedah Aerotropolis dengan memberi pengecualian ketika tempoh menunggu menyiapkan kajian NASP atau menggunakan dapatan data-data kajian awalan terdahulu sebagai interim NASP,” katanya.

Anthony menjelaskan, permohonan projek pembangunan aerodrom termasuk lapangan terbang di Malaysia perlu dibuat mengikut Akta Penerbangan Awam 1969 dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan sentiasa mengambil sikap terbuka terhadap sebarang cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri mahupun pihak pelabur swasta yang membawa manfaat ekonomi, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan yang lestari. - Bernama