Muka baharu bukti UMNO sedia berubah

54 muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO bahagian pada pemilihan UMNO kali ini.
54 muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO bahagian pada pemilihan UMNO kali ini.
A
A
A

PEMILIHAN UMNO pada kali ini dilihat menunjukkan suatu perubahan apabila menampilkan muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO bahagian sekali gus menunjukkan parti itu bersedia untuk mengubah barisan kepimpinan lama.

Ia berdasarkan keputusan pemilihan UMNO pada Ahad di mana 54 muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO bahagian.

Antara muka baharu bagi Ketua UMNO bahagian di seluruh Malaysia kali ini ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh (Jasin).

Selain itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (Kangar) dan bekas Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Nor (Pasir Mas) dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

Ia juga melibatkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun (Pasir Salak) dan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (Seputeh).

Mencipta kejutan ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diumumkan memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023/2026 dengan memperolehi undian tertinggi iaitu sebanyak 124 undi.

Diikuti pula Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang jawatan Naib Presiden UMNO yang mendapat 107 undi, manakala penyandang sebelum ini iaitu Mohamed Khaled pula berjaya mengekalkan jawatan dengan memperoleh 114 undian.

Dengan kemenangan barisan kepimpinan baharu itu menunjukkan UMNO bersedia untuk berubah dengan menampilkan wajah 'segar' dan pemimpin berkaliber bagi memastikan parti itu kekal relevan terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Lebih-lebih lagi parti itu perlu bangkit untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terutama golongan muda dengan membawa suara mereka berhubung isu kebajikan, kos sara hidup dan sebagainya.

Muka baharu ditampilkan dalam UMNO diharapkan dapat memastikan parti itu kembali menjadi pilihan masyarakat Melayu.

Dengan adanya pemilihan muka baharu berkenaan memberi petanda bahawa sudah masanya barisan kepimpinan lama digantikan dengan pemimpin baharu dan muda yang mempunyai wawasan dan berkepimpinan bagi memastikan parti itu terus menjadi pilihan rakyat.