Mohd Puad gagal pertahan jawatan Ketua UMNO Batu Pahat

MOHD PUAD
MOHD PUAD
A
A
A

JOHOR BAHRU - Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat apabila tewas dalam saingan tiga penjuru bagi pemilihan jawatan itu.

Dalam keputusan yang diumumkan pada petang Ahad, Zaidi Japar yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian menang dengan meraih undi 401 undi manakala Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit hanya meraih 302 undi.

Seorang lagi pencabar, Johari Abd Razak hanya memperoleh enam undi.

Seramai 709 perwakilan terlibat dalam pemilihan yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Batu Pahat pada Sabtu.

Mohd Puad merupakan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat sejak 2004.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, sebanyak 25 bahagian sudah selesai menjalani proses pemilihan dan telah mengumumkan barisan kepimpinan baharu.

Bagaimanapun, pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru digantung susulan lebihan kertas undi berbanding perwakilan.

Jelasnya, tarikh pemilihan bagi UMNO Bahagian Johor Bahru hanya akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat.

"Sebanyak 11 Bahagian UMNO mempunyai Ketua UMNO yang baharu membabitkan Batu Pahat (Zaidi Japar), Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan), Tanjung Piai (Md Israk Abdullah), Tebrau (Datuk Abdul Halim Sulaiman), Sembrong (Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid) dan Simpang Renggam (Datuk Onn Hafiz Ghazi).

"Lima lagi muka baharu yang menang Ketua UMNO Bahagian ialah Sri Gading (Datuk Mohd Lassim Burhan), Muar (Datuk Ashari Md Sarip), Bakri (Azman Ismail), Ledang (Datuk Rahim Talib) dan Sekijang (Datuk Baharum Mohamed).

Mengulas kekalahan beberapa nama besar termasuk Datuk Seri Hasni Mohammad di Pontian, Samsolbari yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, perkara itu merupakan adat dalam pertandingan ada kalah dan menang.