Banjir Johor: 2 bulan boleh hadir sekolah tanpa pakaian seragam

Norlizah
Norlizah
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kelonggaran diberikan sehingga dua bulan kepada pelajar terjejas banjir di negeri ini untuk tidak mengenakan pakaian seragam sekolah.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa agar tidak terbeban untuk menyediakan pakaian seragam sekolah.

"Difahamkan banjir di Batu Pahat dijangkakan berlarutan lebih sebulan atau mungkin menjangkau dua bulan.

"Maka, pelajar di kawasan terjejas banjir di negeri ini diberi kelonggaran dan dibenarkan tidak memakai seragam sehingga dua bulan lagi," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail pada Ahad.

Pada 14 Mac lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kelonggaran kepada pelajar untuk memakai baju-T sukan bersesuaian semasa mengikuti aktiviti kokurikulum badan beruniform di sekolah.

Selain itu, Norlizah berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan peranti elektronik kepada pelajar terjejas banjir bagi membolehkan mereka mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sedang mendapatkan data jumlah murid dan pelajar yang perlu mengikuti PdPR namun tiada peranti elektronik.

"Pelajar terjejas banjir dijangka mengikuti kelas secara PdPR dalam tempoh antara satu hingga dua bulan.

"Oleh itu, kita akan kenal pasti jumlah pelajar yang tiada peranti untuk ikuti PdPR bagi meringankan beban ibu bapa yang terjejas banjir," katanya.