Lori lebih muatan antara punca Lebuhraya Pasir Gudang rosak

Gambar kiri: Mohd Fazli
Gambar kiri: Mohd Fazli
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Kehadiran kenderaan berat lebih muatan dan kekerapan kerja-kerja pengalihan utiliti seperti paip saluran air merupakan antara faktor utama kerosakan Lebuhraya Pasir Gudang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Fazli Mohd Salleh berkata, laluan sepanjang kira-kira 38 kilometer (km) dibina bagi menampung ketahanan lori muatan berat 30 tan.

Namun, lori muatan berat lebih 60 tan dilapor lebih kerap menggunakan laluan Lebuhraya Pasir Gudang yang menjadi laluan utama ke kawasan perindustrian dan pelabuhan.

"Membaiki jalan bukan satu-satunya langkah penyelesaian kerosakan jalan yang kerap berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang.

"Saya sendiri sudah bertemu dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Lori muatan lebih 60 tan dikenal pasti kerap menggunakan laluan lebuh raya tersebut," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Ahad.

Mohd Fazli menambah perbincangan sedang dilakukan bersama Koridor Utiliti Johor (KUJ) bagi mencari kaedah yang lebih sesuai mengelak kerja-kerja pengorekan utiliti di kawasan jalan raya berulang.

"Apabila banyak kerja utiliti seperti kabel elektrik, saluran air dan talian telefon dilakukan, maka pengorekan jalan perlu dilaksanakan di bahu jalan. Ia secara tidak langsung akan mengganggu struktur tanah di tengah jalan.

"Kos terbesar kerja-kerja pelebaran jalan Lebuhraya Pasir Gudang kepada tiga lorong bernilai RM75 juta yang kini sedang dilaksanakan, membabitkan pengalihan utiliti," katanya.

Khamis lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukan bagi membaiki jalan rosak dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang.

"Saya berharap supaya peruntukan pembaikan jalan Persekutuan disalurkan untuk membaiki laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan amat membahayakan pengguna jalan raya.

"Habis rim kereta saya pun bengkok," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis lalu.