Wan Rosdy, Khaled dan Johari menang Naib Presiden UMNO

Gambar dari kiri: Johari, Khaled, Rosdy
Gambar dari kiri: Johari, Khaled, Rosdy
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023/2026.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Ab Samad di Menara Dato’ Onn, di sini pada Ahad.

Shahrir menunjukkan keputusan rasmi jawatan tertinggi UMNO ketika sidang media Di Menara Dato' Onn pada Ahad.
Shahrir menunjukkan keputusan rasmi jawatan tertinggi UMNO ketika sidang media Di Menara Dato' Onn pada Ahad.

“Wan Rosdy memperolehi undian tertinggi iaitu sebanyak 124 undi sementara Johari mendapat 107 undi.

“Penyandang sebelum ini iaitu Mohamed Khaled pula berjaya mengekalkan jawatan dengan memperoleh 114 undian,” kata beliau.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap UMNO pula, dimenangi oleh Tan Sri Badruddin Aminuddin setelah mendapat 176 undi manakala timbalannya, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah denga 127 undi.

Shahrir menambah, sebanyak 187 daripada 191 bahagian parti itu terlibat dengan pemilihan manakala empat lagi bahagian iaitu Kota Kinabalu, Tanah Merah, Beluran dan Johor Baharu perlu menjalankan mesyuarat baharu.

“Bagaimanapun, pemilihan empat bahagian itu tidak akan lagi mempengaruhi undian peringkat tertinggi UMNO, ia hanya melibatkan bahagian cawangan mereka sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan pihaknya memberi masa tiga hari kepada mana-mana bahagian untuk membuat bantahan sekiranya ada.

“Sekarang kita sudah terima satu bantahan tapi saya kira selepas ini akan ada lebih banyak,” katanya.

Selain itu, pemilihan kali ini menyaksikan dua menteri dan tiga timbalan menteri berjaya memenangi persaingan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Mereka yang menang ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tiga pemimpin wanita yang berjaya menembusi persaingan MKT ialah Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Suraya Yaacob.

Pemimpin lain yang berjaya memenangi jawatan MKT ialah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Azian Osman dan Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad dan Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Selain itu, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Johan Abdul Aziz, Isham Jalil, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Seri Jalaluddin Alias.