Calon kecundang masih berpeluang dilantik ahli jawatankuasa

Sesi pemilihan UMNO bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian pada Sabtu.
Sesi pemilihan UMNO bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Calon perwakilan yang kecundang dalam pemilihan UMNO 2023, tidak boleh berputus asa kerana masih berpeluang membarisi kepimpinan parti menerusi lantikan ahli jawatankuasa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, calon perwakilan yang menang pula tidak perlu mendabik dada sebaliknya menjadikan kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat untuk bekerja keras.

"Siapa yang menang, dia bukan menang semuanya. Begitu juga dengan yang kalah, bukan kalah semuanya. Mereka masih lagi boleh dilantik bagi jawatan ahli jawatankuasa parti.

"Jangan mendabik dada atas kemenangan yang diperoleh tetapi gunakan peluang yang ada untuk kukuhkan barisan kepimpinan agar UMNO menang di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada malam Sabtu.

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN

Timbalan Menteri Kewangan itu, memperoleh 388 undi, berbanding lawannya, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pontian, yang mendapat 291 undi.

Kemenangan Ahli Parlimen Pontian itu, menamatkan legasi Hasni yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian selama 22 tahun.

Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, sebelum ini merupakan Pengerusi UMNO Johor dan Menteri Besar Johor.

Ahli Parlimen Pontian itu turut merakam ucapan penghargaan kepada Hasni yang telah menerajui UMNO Bahagian Pontian selama 22 tahun.

"Saya akan gunakan pengalaman di dalam parti untuk memimpin UMNO Bahagian Pontian lebih cemerlang dengan pelbagai pendekatan merangkumi anak muda, wanita dan veteran.

"Pelbagai program atas nama UMNO Bahagian Pontian akan diadakan antaranya tilawah al-Quran dan sukan. Selain itu, pelbagai biro juga akan ditubuhkan dan diaktifkan di peringkat pemuda, puteri dan wanita," katanya.