Pameran agensi kementerian di Town Hall Rakyat Isnin ini

Program Town Hall Rakyat edisi kedua bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan berlangsung di Dewan Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada Isnin.
Program Town Hall Rakyat edisi kedua bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan berlangsung di Dewan Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Town Hall Rakyat edisi kedua bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan turut melibatkan pameran daripada agensi-agensi di bawah kementerian bagi memberi lebih banyak informasi kepada orang ramai.

Pengarang Eksekutif Digital Sinar Harian, Ruzy Adila Idris berkata, pameran yang dianjurkan pada Isnin ini bertujuan memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada pengunjung mengenai peranan serta fungsi perkhidmatan agensi-agensi terbabit.

“Alhamdulillah kali ini kita dapat mengumpulkan lebih banyak agensi kementerian untuk memeriahkan lagi Town Hall Rakyat, di samping memberi penerangan kepada orang ramai dengan fungsi dan peranan selain membuka kaunter aduan.

Ruzy Adila Idris
Ruzy Adila Idris

“Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Maritim Malaysia (MIMA), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Rail Link (MRL), Mass Rapit Transit Corporation (MRT Corp), Express Rail Link (ERL) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

“Kami berharap orang ramai merebut peluang ini untuk mendapat lebih banyak maklumat apabila menghadiri Town Hall Rakyat bersama Menteri Pengangkutan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Program yang bakal berlangsung di Dewan Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam akan dihoskan oleh Azhar Sulaiman.

Mengulas mengenai program Town Hall Rakyat yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini, Ruzy Adilla berkata, ramai yang memberikan impak positif terhadap program tersebut.

“Malah, menteri sendiri mengakui berapa amat gembira dan berpuas hati kerana dapat memberi penerangan dengan panjang lebar isu berkaitan komunikasi dan digital secara terus kepada rakyat

“Beliau juga mahu program seperti ini diteruskan. Kedua, kita juga dapat melihat ramai rakyat juga dapat meluahkan segala persoalan-persoalan yang bermain di fikiran mereka dan mengharapkan jawapan yang telus oleh menteri.

“Sebab itu mereka sanggup hadir ke premis Sinar Harian untuk menyertai town hall. Jadi apa yang boleh saya katakan, program Town Hall Rakyat sebenarnya telah berjaya menjadi ‘jambatan’ untuk menyatukan menteri dengan rakyat jelata,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai dialu-alukan ke Town Hall Rakyat pada kali ini kerana ia merupakan peluang terbaik untuk rakyat bersemuka dengan menteri untuk bertanya apa sahaja soalan berkaitan isu pengangkutan negara.

“Untuk penganjuran kali kedua selepas Town Hall Rakyat bersama Fahmi, kita berasakan bahawa sangat perlu untuk meneruskan program sebegini kerana ternyata ia dapat mengeratkan hubungan antara menteri dan rakyat tanpa ada sebarang sekatan,” jelas Ruzy Adila lagi.