Peniaga jual hasil laut harga 'Rahmah'

Sauffian (kiri) bersama Ahmad Aiman Sauji (kanan) dan Mohd Azrul Mamat (tengah) di premis keduanya yang mula beroperasi di Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Sauffian (kiri) bersama Ahmad Aiman Sauji (kanan) dan Mohd Azrul Mamat (tengah) di premis keduanya yang mula beroperasi di Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kedatangan Ramadan yang bakal diraikan tidak lama lagi mendorong seorang peniaga meluaskan lagi perniagaan dengan membuka satu lagi cawangan di Kampung Durian Burung, di sini untuk menjual pelbagai jenis bahan mentah daripada hasil laut pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Sauffian Sauji, 36, berkata, kebanyakan harga bagi hasil laut yang dijual di premisnya 30 peratus lebih rendah bagi memastikan pelanggan mendapatkan bahan itu pada harga mampu milik.

Namun, katanya, harga semasa jualan berubah-ubah kerana bergantung kepada faktor bekalan dan kualiti barangan terutama melibatkan hasil laut bermusim seperti sotong dan beberapa jenis ikan.

Sauffian menunjukkan antara hasil laut yang dijual di premis keduanya yang beroperasi di Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu.
Sauffian menunjukkan antara hasil laut yang dijual di premis keduanya yang beroperasi di Kampung Durian Burung, di Kuala Terengganu.

"Di sini terdapat lebih 30 jenis hasil laut dari pelbagai gred seperti ikan, sotong, udang, lala dan telur ikan yang diperoleh terus dari jeti Pulau Kambing di sini.

"Selain itu, terdapat 32 jenis sayur-sayuran yang diperoleh dari Cameron Highlands dan juga ayam," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Jumaat.

Menurut Sauffian, cawangan kedua perniagaannya mula dibuka di Durian Burung, di sini pada Jumaat selain turut mengekalkan operasi cawangan pertama di Kampung Tualang, Manir.

Harga setiap satu kilogram hasil laut biasa dibeli pelanggan antaranya ikan kerisi (RM15), siakap (RM19), cencaru (RM12), selayang A (RM14), selayang S (RM12), lolong (RM14), selar gred A (RM16), selar gred B (RM14) dan ikan kunyit remong (RM6).

Selain itu, harga bagi sotong gred A (RM40), sotong jarum (RM20), ikan merah suman/merah mata hitam (RM36), tenggiri (RM35) dan cermin (RM27).

Terdapat juga telur ikan tenggiri yang dijual RM10 sebekas dan promosi udang serta lala yang dijual pada harga RM7 sempena pembukaan premis berkenaan.

Menurut Sauffian, harga sotong sentiasa turun naik dan jika berlaku lambakan sotong, harganya akan lebih murah.

"Setakat ini bekalan bagi sotong agak sukar diperoleh memandangkan kita baru melepasi musim tengkujuh. Kalau ada rezeki dan bekalan mudah, kita akan jual sotong RM5/kg seperti yang dilakukan menjelang musim perayaan tahun lalu.

"Biasanya harga sotong akan jatuh apabila banyak tangkapan sotong oleh kebanyakan bot termasuk hasil daripada mencandat," ujarnya.

Jelasnya lagi, kedua-dua premisnya akan beroperasi seperti biasa pada Ramadan bermula jam 7.30 pagi sehingga 3.30 petang.

Katanya, premis tersebut beroperasi setiap hari pada hari biasa iaitu jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang (Ahad hingga Khamis), 7.30 pagi hingga 3 petang (Sabtu) dan jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari pada Jumaat.