Azwan Bro tewaskan anak Tajuddin

Khairul Azwan sebak dan berdoa sebaik mendapat keputusan tidak rasmi bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak pada Sabtu.
Khairul Azwan sebak dan berdoa sebaik mendapat keputusan tidak rasmi bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak baharu dalam mesyuarat perwakilan parti itu di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, Changkat Lada di sini pada Sabtu.

Khairul Azwan, 47, menang tipis dengan menewaskan pencabarnya, Dr Faizal Tajuddin yang merupakan anak sulung bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Keputusan tidak rasmi setakat jam 7 petang menyaksikan Khairul Azwan memperoleh 342 undi manakala Faizal mendapat 296 sokongan.

Kemenangan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu sekali gus menamatkan legasi Tajuddin yang menggalas jawatan itu sejak 2004.

Beliau yang dikenali sebagai Azwan Bro juga turut bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) sesi 2023-2026 kali ini.

Kerusi Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak kosong setelah Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun.

Bagaimanapun, sehingga jam 8 malam, keputusan bagi lain-lain jawatan masih belum diperolehi.