'Peluang saya merengek' - Fadhlina

Fadhlina ketika berucap pada sesi penggulungan Ketua Wanita pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati Shah Alam pada Sabtu.
Fadhlina ketika berucap pada sesi penggulungan Ketua Wanita pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek mengambil peluang berucap di pentas Kongres Nasional Khas PKR 2023 untuk meluah perasaan mengenai situasi politik hari ini.

Fadhlina berkata, sejak menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan, beliau tidak banyak merengek mengenai keadaan politik semasa ekoran memberi tumpuan menerajui kementerian berkenaan.

"Saya ingin mengambil ruang ini untuk merengek kerana saya fikir saya tiada ruang merengek di Kementerian Pendidikan Malaysia. Jadi dengan rakan-rakan parti biasanya yang saya boleh merengek untuk beberapa perkara.

"Saya dan rakan-rakan ahli Parlimen yang lain saban hari 'bersilat' di Parlimen, dalam gelanggang Dewan Rakyat. Boleh saksikan bagaimana juak-juak di seberang sana (pembangkang) berselindung di sebalik kononnya perjuangan mereka adalah yang terpaling kanan, terpaling Islamis dan terpaling bumiputera.

"Sampai depa (mereka) kira, jumlah kita sebut bumiputera (dalam pembentangan Belanjawan 2023) itu berapa kali, sedangkan kita bukan seperti mereka. Agenda membela nasib bumiputera dan masyarakat menjadi dasar dan polisi jelas dengan kepimpinan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Ketua Wanita pada Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Melawati pada Sabtu.

Dalam pada itu Fadhlina secara sinis menjelaskan, barisan kepimpinan kerajaan sentiasa membela bumiputera dan bukannya dinilai kepada jumlah sebutan perkataan itu, sebaliknya bersandarkan tindakan yang telah dan akan dilaksanakan.

"Saya dan rakan-rakan sebenarnya menerima tanggungjawab ini (dalam Kabinet) dengan penuh kesedaran dan keinsafan, sebagaimana yang sering disebut oleh Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jawatan ini adalah taklif dan bukan tasyrif. Ia adalah tanggungjawab dan bukan untuk bermegah-megah.

"Jawatan ini apabila dipikul, ia harus menjadikan kita lebih rendah diri, menginsafi betapa besarnya amanah dan tanggungjawab ini.

"Siapa lagi kalau bukan kita aktivis Keadilan yang harus menjadi contoh tauladan, bahawa negara ini boleh diangkat ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.