Ahmad Said kekal Ketua UMNO Bahagian Kemaman

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KEMAMAN - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman yang disandangnya dalam pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026.

Ahmad, 66 yang juga calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memperoleh 401 undi menewaskan pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin yang mendapat sebanyak 286 undi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu yang telah memegang jawatan tersebut sejak 23 tahun lalu memperoleh kemenangan dengan majoriti 115 undi.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman, Razali Jusoh berkata, seramai 34 orang bertanding bagi merebut jawatan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kemaman.

"Jumlah kehadiran perwakilan pada pemilihan tahun ini seramai 690 orang daripada 818 yang layak mengambil bahagian," katanya.

Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman disandang Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid selepas menewaskan Tuan Kechil Tuan Tengah dengan majoriti 132 undi.

Wan Ahmad Nizam meraih 407 undi sementara Tuan Kechil mendapat 275 undi.

Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman pula menyaksikan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir menewaskan Datuk Mustafa Ab Rahman dengan majoriti 237 undi bagi merebut jawatan tersebut.

Mohd Hisham mendapat sebanyak 454 undi sementara Mustafa memperoleh 217 undi.