Hasrat tunai umrah lebur, duit lesap

Seorang pesara kerugian RM11,400 setelah terpedaya tawaran pakej umrah melalui aplikasi WhatsApp. - Gambar hiasan.
Seorang pesara kerugian RM11,400 setelah terpedaya tawaran pakej umrah melalui aplikasi WhatsApp. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang pesara swasta di Temerloh untuk menunaikan umrah tidak kesampaian, sebaliknya kerugian RM11,400, apabila terpedaya dengan tawaran pakej umrah yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 58 tahun ditipu selepas menerima tawaran pakej umrah melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Mac lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa kononnya dilantik sebuah syarikat menguruskan umrah terbabit dan mangsa mengatakan hasratnya untuk mengerjakan ibadah itu.

"Mangsa membuat lima kali transaksi melalui dua akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi syarikat yang dikatakan menawarkan pakej terbabit tetapi dimaklumkan tiada apa-apa pakej ditawarkan syarikat berkenaan.

Menurutnya, susulan itu wang simpanan mangsa sebanyak RM11,400 lesap kerana mempercayai tawaran yang dibuat suspek.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai tidak berurusan dengan orang tengah bagi mana-mana tawaran pakej umrah dan haji, selain membuat semakan di Lembaga Tabung Haji.