Pertimbang insentif kepada penyedia Menu Rahmah

Datuk Seri Salahuddin Ayub. Foto: Bernama
Datuk Seri Salahuddin Ayub. Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang dengan beberapa kementerian untuk memberi insentif bantuan bukan berbentuk subsidi kepada penyedia Menu Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kelebihan tertentu kemungkinan lebih sesuai diberi kepada mereka terlibat sebagai tanda penghargaan kerana menyumbang kepada kejayaan program berkenaan.

"Menu Rahmah ini bermula tanpa insentif daripada kerajaan tetapi dengan satu libat urus antara kementerian dan pemain industri.

"Kita masih teruskan sesi libat urus itu dan nampaknya Menu Rahmah terus disambut baik dari hari ke hari walaupun tanpa insentif, " katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Belia Bersama Pemain Industri Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pemberian insentif kepada pengusaha makanan yang menyediakan Menu Rahmah.

Jelasnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) misalnya mungkin boleh memikirkan untuk memberi kelonggaran berkenaan sewa premis kepada penyedia Menu Rahmah menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pemilik premis.

Selain itu katanya, jika ada pengusaha yang dikenakan saman oleh pihak berkuasa bagi kesalahan kecil tertentu, KPDN akan menggunakan budi bicara untuk membantu menyelesaikannya.

"Walaupun tiada insentif khusus, tapi kita akan bagi insentif pertolongan. Contohnya, jika ada kedai makan atau industri yang libatkan barangan asas seperti kebun sayur dan tanaman sayur atau pengusaha ayam, kita akan permudahkan jika mereka perlu sebilangan pekerja asing, " katanya.

Salahuddin berkata, pihaknya mahu pelaksanaan Menu Rahmah menjadi satu budaya dan nilai dalam hati setiap rakyat dan pemain industri walaupun tanpa sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Program Menu Rahmah ini bukan paksaan. Tapi saya percaya sebahagian mereka yang jayakan program ini telah dapat keuntungan berkali ganda dan bilangan pelanggan juga bertambah," katanya.

Media pada 2 Mac lalu melaporkan kerajaan bersedia mempertimbangkan pemberian insentif kepada pemilik restoran atau kedai makan yang menyediakan Menu Rahmah sekiranya mendapat permohonan.

Salahuddin dilaporkan berkata, beliau akan memanjangkan perkara itu kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.