Baucar RM300 barang elektrik bantu mangsa banjir

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (depan, kanan) merasmikan Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Ayer Keroh pada Sabtu. - Foto Bernama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (depan, kanan) merasmikan Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Ayer Keroh pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

MELAKA - Seramai 1,000 keluarga mangsa banjir terdiri daripada miskin tegar dan golongan B40 bakal menikmati baucar bernilai RM300 bagi pembelian barangan elektrik di bawah Program Payung Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kementerian itu bersetuju melakukan inisiatif berkenaan bagi meringankan beban golongan berkenaan terutama mangsa banjir yang terkesan di negeri Johor dan Pahang.

Menurutnya, program ini akan berkolaborasi dengan syarikat-syarikat pengeluaran elektrik yang turut akan menawarkan diskaun berpatutan bagi setiap pembelian barangan keperluan elektrik tersebut.

"Kita akan bantu mereka dengan baucar bernilai RM300 untuk mereka membeli barang-barang asas keperluan elektrik seperti mesin basuh atau peti sejuk yang musnah akibat banjir.

"Jadi syarikat ini mungkin menjual (barang) dengan harga diskaun, dan KPDN akan tambah lagi baucar bernilai RM300 untuk mereka membeli peralatan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Bangunan Pejabat Baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Melaka di MITC Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pihaknya akan memastikan pemberian baucar tersebut dapat dimanfaatkan keluarga mangsa banjir yang benar-benar terkesan.

"Macam di Johor kita fokus di Segamat dan Batu Pahat, manakala di kawasan pekan nanti kita akan dapatkan data tepat.

"Kementerian dan petugas mungkin pusat khidmat kita akan melihat dan pastikan golongan ini benar-benar memenuhi kriteria miskin tegar dan golongan B40," ujar beliau lagi.