Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan bincang manifesto PRN

Mohamad ketika ditemui wartawan di Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2023 pada Ahad.
Mohamad ketika ditemui wartawan di Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2023 pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Ahad tidak akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan mempengerusikan mesyuarat itu berkata, sebaliknya agenda utama yang akan dibincangkan ialah mengenai strategi Kerajaan Perpaduan dan manifesto bagi menghadapi PRN nanti.

"Kita tak bincang soal kerusi esok (Ahad). Saya tidak akan bentangkan buat masa ini, tetapi akan dibentangkan pada waktu yang sesuai.

"Kita akan berbincang soal strategi dahulu terutama strategi komunikasi Kerajaan Perpaduan dan berkenaan janji-janji pilihan raya dan manifesto kerana setiap parti ada manifesto mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2023 di sini pada Ahad.

Menurutnya, apa yang lebih mudah buat BN dan PH ketika ini apabila hampir 50 peratus manifesto setiap parti didapati hampir sama.

Jelasnya, adalah penting buat kedua-dua pihak menyelaraskan perkara itu terlebih dahulu supaya ia dapat dilaksanakan berbanding memutuskan soal pembahagian kerusi.

"Bagaimana cara untuk kita hadapi PRN itu akan difikirkan sehalusnya kerana bukan semua negeri boleh menggunakan strategi sama.

"Ada negeri menggunakan strategi pembahagian kerusi secara berlainan," katanya.

Sementara itu beliau yang merupakan Pengerusi BN Negeri Sembilan memberitahu akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan Pengerusi PH Negeri Sembilan bagi membincangkan soal menghadapi PRN sebaik saja keputusan telah dibuat di peringkat Sekretariat Perpaduan.

"Kita akan tunggu keputusan di peringkat Pusat dulu, macam mana strateginya dan selepas itu baharulah kita putuskan di peringkat negeri," katanya.

Sebelum ini media melaporkan dalam perjumpaan Sekretariat Perpaduan pada Ahad akan membentangkan laporan pertama rundingan semua parti dalam kerajaan bagi menghadapi PRN di enam negeri.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, soal perundingan agihan kerusi untuk enam negeri antara agenda yang akan dibincangkan.