Perkasa institusi pondok - Habib Ahmad Muhaiyudin

Habib Ahmad Muhaiyudin
Habib Ahmad Muhaiyudin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi gagasan Kerajaan Perpaduan diminta memberi perhatian terhadap usaha memperkasa institusi pendidikan tradisional agama seperti pondok di seluruh negara.

Perwakilan Ketua Cabang PKR Sik, kedah, Habib Ahmad Muhaiyudin Habib Danial berkata, inisiatif itu merangkumi beberapa aspek termasuk sokongan kewangan dan peningkatan kualiti dalam kalangan tenaga pengajar.

“Penting untuk memastikan perkara ini dapat diusahakan supaya kebajikan para guru dan pelajar lebih terjamin.

“Dalam membangunkan sekolah pondok, ada perkara yang kadang-kadang kita terlepas pandang iaitu kualiti pendidikan tenaga pengajar mereka.

“Ini sesuatu yang perlu diterapkan dalam dasar inisiatif ini,” katanya semasa sesi perbahasan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Melawati pada Sabtu.

Kongres yang bertema Malaysia Madani: Pelaksanaan sebuah Idealisma dirasmikan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seramai 1,200 perwakilan dari seluruh negara berkampung di stadium tersebut bagi majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Habib Ahmad Muhaiyudin berkata, harapan yang dizahirkan itu merupakan salah satu usaha dalam mengangkat Islam di persada nasional.

“Guru saya berkata, gunakalah politik untuk mengangkat agama ini, bukan menggunakan agama untuk membawa kepentingan politik,” ujarnya.