Maqis gagalkan cubaan bawa masuk daging itik, sosej lembu China

Produk haiwan yang dirampas di KLIA 2 Rabu lalu.
Produk haiwan yang dirampas di KLIA 2 Rabu lalu.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa masuk produk haiwan dari China melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Rabu lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, seorang lelaki warga China berusia 30-an yang membawa bagasi berisi produk haiwan itu dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada jam 6.30 pagi.

"Pemeriksaan lanjut, kita mendapati produk tersebut terdiri daripada lapan kilogram itik dan 12 kilogram sosej lembu mentah, rampasan produk haiwan itu dianggarkan bernilai RM 200," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Sobri berkata, produk haiwan tersebut telah disita oleh Maqis kerana tidak mempunyai permit import serta sijil kesihatan dan sijil halal yang sah.

"Perbuatan mengimport produk haiwan tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

"Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, ikan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan serta keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya.