MATTA kerjasama dengan pemain industri Eropah

Tan Kok Liang dan Tiong King Sing memukul gendang simbolik kepada perasmian MATTA Fair 2023 di MITEC pada Jumaat.
Tan Kok Liang dan Tiong King Sing memukul gendang simbolik kepada perasmian MATTA Fair 2023 di MITEC pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi membina pasaran berpotensi tinggi, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) membina hubungan kerjasama dengan pemain industri Eropah.

Presidennya, Tan Kok Liang berkata, MATTA telah memulakan misi berkenaan dengan memberi tumpuan kepada pelancong dari Eropah.

Menurutnya, kerjasama stategik itu telah dimulakan menerusi lima organisasi pelancongan kebangsaan Eropah.

“Kerjasama tersebut melibatkan Persekutuan Agensi Pelancongan Switzerland (SRV); Persatuan Pengendali Pelancongan dan Ejen Pelancongan Republik Czech (ACCKA); Persatuan Industri Pelancongan Finland (SMAL); Dewan Pelancongan Poland (PIT) dan Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan Estonia (ETFL).

“Perkongsian kerjasama ini akan memberi manfaat dan hasil tinggi dengan kemasukan pengembara dari Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Jumaat.

Turut hadir merasmikan MATTA Fair 2023, Menteri Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing.

Kok Liang berkata, pihaknya juga akan memperbaharui memorandum persefahaman dengan dua rakan sejawatnya dari Indonesia.

“Ini menunjukkan bahawa kita tidak mengabaikan jiran rapat ndonesia kerana negara itu penyumbang besar produk pelancongan di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pameran yang diadakan, beliau berkata sebanyak 1416 reruai telah dibuka melibatkan 220 organisasi syarikat, ejen pelancongan, syarikat penerbangan, hotel dan kapal pelayaran pada MATTA Fair kali ini.

“Pada bulan September akan datang kami akan menganjurkan pameran kerjaya pelancongan untuk membantu membangunkan bakat pelancongan yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pameran MATTA yang sedang berlangsung adalah petunjuk kukuh bahawa industri sedang menyesuaikan diri dengan trend pelancongan pasca-pandemik termasuk mengubah tabiat pembelian,” ujarnya.

Sementara itu Tiong King Sing berkata, MOTAC juga akan bekerjasama dengan MATTA untuk membangunkan aplikasi MATTAONline bagi memudahkan perkongsian data termasuk mengelak pelancong menjadi mangsa penipuan scammer.