Cubaan bawa masuk 24,500kg tepung beras pulut gagal

Seorang anggota penguat kuasa Maqis memeriksa tepung beras pulut yang dibawa masuk dari Thailand pada 11 Mac lalu di Bukit Kayu Hitam.
Seorang anggota penguat kuasa Maqis memeriksa tepung beras pulut yang dibawa masuk dari Thailand pada 11 Mac lalu di Bukit Kayu Hitam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 24,500 kilogram (kg) tepung beras pulut dari Thailand tanpa permit import di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, dekat sini.

Ketua Pintu Masuk Maqis Bukit Kayu Hitam, Mohd Sukor Shafie berkata, kejayaan itu hasil usaha anggotanya membuat pemeriksaan rutin ke atas sebuah kontena yang dilakukan pada jam 5 petang, 11 Mac lalu.

Menurutnya, tepung beras pulut yang bernilai RM103,000 itu diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tindakan selanjutnya.

"Maqis komited bekerjasama dan membantu agensi dan jabatan penguat kuasa berkaitan bagi memastikan aspek biosekuriti makanan negara sentiasa terjamin," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Sukor berkata, Maqis tidak akan leka serta memandang mudah perkara tersebut bagi memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak.

Menurutnya, agensi itu juga mahu menghalang penyakit dan bahan cemar selain tidak menjejaskan sektor pertanian negara bagi mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.