Tembak isteri: Lans koperal mohon ziarah kubur selepas didakwa

Tertuduh (berbaju merah) didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. - Gambar/ Astro AWANI
Tertuduh (berbaju merah) didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A

KANGAR - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar pada Jumaat atas pertuduhan membunuh isterinya 5 Mac lalu.

Mohamad Nizarman Hassim, 27, bagaimanapun hanya menjawab faham selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd Nor, dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Nizarman didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini, sekitar jam 6.45 hingga 8.50 pagi.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Nordin memohon mahkamah untuk mempertimbangkan supaya tertuduh dihantar ke hospital psikiatri untuk penilaian mental selama sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Mohd Nordin dan menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan penilaian psikiatri tertuduh.

Sementara itu, suasana di dalam mahkamah menjadi sayu sebaik tertuduh hendak dibawa keluar apabila dia merayu kepada Majistret untuk memberi kebenaran menziarahi kubur isterinya.

Permintaannya bagaimanapun tidak dibenarkan oleh Majistret.

Dalam kejadian 5 Mac lalu, suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh isterinya yang ketika itu hamil lima bulan.

Suspek dipercayai melepaskan lima das tembakan pada jarak dekat dengan salah satu tembakan terkena mata kiri mangsa mengakibatkan wanita itu maut di tempat kejadian. - Awani