Semua jentera kementerian diarah bantu pasca banjir di Johor

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua jentera kementerian diarahkan untuk membantu pasca banjir di Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM150 juta peruntukan tambahan oleh Kementerian Kewangan (MOF) disegerakan bagi tujuan itu.

"Kabinet beri keutamaan (banjir) dan putuskan semua jentera kementerian melibatkan diri dalam program dan projek pasca banjir,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di bangunan Perdana Putra, pada Jumaat.

Menurutnya, semua badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak universiti juga diseru untuk turut melibatkan diri membantu mangsa banjir di Johor.

"Sukarelawan dari jabatan kerajaan (diminta) turun dalam tempoh singkat ini bagi bantu rakan dan keluarga kerana beban sangat besar untuk dikendalikan oleh jentera di Johor," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah dihubungi supaya turut sama menyalurkan sukarelawan ke negeri itu.

“Sekarang pasca banjir perlu sukarelawan ramai dan keperluan asas lain dan kemudahan seperti ‘water jet’. Semua (peralatan ini) akan ditambah oleh kerajaan,” katanya.

Anwar berkata, secara keseluruhan mangsa banjir di Johor yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor mencecah 82,831 orang.

"Seramai 26,879 mangsa berada di 102 PPS yang masih dibuka di Johor,” katanya.

Setakat ini, 16,167 ketua isi rumah di Johor telah menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berharap kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan khas kepada negeri ini bagi membaiki infrastruktur awam yang rosak dan harta benda yang musnah, akibat banjir.

Titah baginda, masih terdapat banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya, terutama di Batu Pahat, sejak negeri itu dilanda banjir pada 28 Februari lepas.