Mbappe calon kapten Perancis

Deschamps (kanan) merasakan Mbappe antara calon utama dipilih sebagai kapten Perancis. - Foto Agensi
Deschamps (kanan) merasakan Mbappe antara calon utama dipilih sebagai kapten Perancis. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN sensasi, Kylian Mbappe merupakan calon pilihan untuk memakai lilitan kapten skuad kebangsaan Perancis susulan Hugo Lloris yang mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih, Didier Deschamps.

Keperluan melantik ketua pasukan baharu itu menjelang pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Belanda dan Republik Ireland hujung bulan ini.

“Terdapat beberapa calon yang saya fikir boleh. Kylian (Mbappe) salah seorang daripadanya.

“Ia akan melalui satu proses perbincangan dengan mereka sebelum saya membuat sebarang keputusan,” ujar Deschamps.

Lloris mengumumkan persaraannya daripada tugasan kebangsaan selepas berakhir final Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu.

Dalam perlawanan akhir itu Perancis tewas kepada Argentina dalam penentuan gelaran dan Mbappe ketika ini dilihat memiliki kepimpinan untuk menerajui pasukan itu.

Menurut Deschamps, pemilihan kapten perlu dibuat secara berhati-hati kerana ia melibatkan soal tanggungjawab.

“Terdapat satu tanggungjawab di antara menjadi kapten dengan beberapa tanggungjawab lain yang juga penting. Saya mahu melakukan perbincangan ini secara dalaman sebelum membuat keputusan,” ujar Deschamps.