'Jom duduk semeja kita bincang'

Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mengajak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek duduk semeja berbincang mengenai isu harga makanan di kantin sekolah yang terus menjadi polemik ketika ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama (Gambar kecil: Hantaran yang dimuat naik Rizal di Facebook.)
Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mengajak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek duduk semeja berbincang mengenai isu harga makanan di kantin sekolah yang terus menjadi polemik ketika ini. (Gambar hiasan) - Foto Bernama (Gambar kecil: Hantaran yang dimuat naik Rizal di Facebook.)
A
A
A

SHAH ALAM - Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mengajak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek duduk semeja berbincang mengenai isu harga makanan di kantin sekolah yang terus menjadi polemik ketika ini.

Sekretariatnya, Rizal Yusof berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan harga makanan mengikut kontrak ditetapkan, namun ia tetap tidak menyelesaikan isu utama yang dihadapi pengusaha kantin sekolah.

Jelasnya, setiap pengusaha yang baharu mendapat kontrak atau kontrak diperbaharui tetap berdepan dengan masalah kerana perlu melalui proses penilaian harga bahan mentah semasa.

"Kedudukan semasa kami di setiap kantin sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) ini tidak memberi sebarang keistimewaan pun kalau hendak bandingkan dengan premis-premis di luar.

"Kedudukan kami sama saja, malah kami pengusaha kantin rasanya lebih mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) kebersihan, keselamatan dan kesihatan dengan lebih ke hadapan kerana sentiasa dipantau oleh pelbagai pihak dan agensi.

"Kami (juga) telah menyampaikan memorandum tempoh hari, tolonglah pertimbangkan dan semak segala usul serta cadangan yang kami mohon. Kami bukan hanya minta diselesaikan untuk kami sahaja tetapi ia boleh diguna pakai pada pengusaha-pengusaha di masa hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM memberi jaminan tidak akan timbul isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah seperti yang dibimbangi sesetengah pihak.

Ini kerana katanya, harga makanan di kantin sekolah adalah berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara pengusaha dan pihak sekolah.

Beliau juga menjelaskan, pihaknya akan memberi perhatian terhadap cadangan penyeragaman harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti.