Dimensi baharu Ciriello buat hoki negara

Christopher Ciriello - Foto Bernama
Christopher Ciriello - Foto Bernama
A
A
A

KEHADIRAN pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Christopher Ciriello memberi dimensi baharu buat skuad hoki negara dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, ia menjadi peluang terbaik buat para pemain termasuk dari skuad remaja untuk mendapat pendedahan daripada pakar luar negara.

"Menariknya mengenai Chris (Ciriello) beliau memenangi Piala Dunia pada 2014, jadi beliau tahu macam mana untuk menang. Itu sangat penting.

"Apabila kita bawa orang dari luar adalah penting individu itu sudah capai banyak kejayaan di peringkat dunia," katanya.

Pasukan hoki negara pada Rabu mendapat suntikan semangat baharu dalam misi memburu emas di temasya Sukan Asia Hangzhou pada September apabila mendapat khidmat Ciriello yang juga bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan India.

Khabar gembira itu diumumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang melihat sentuhan magis Ciriello mampu menajamkan lagi pukulan sudut penalti skuad Malaysian Tigers.

Arul juga percaya pengalaman Ciriello bersama skuad kebangsaan India mampu memberi manfaat buat pasukan hoki negara.

"Saya fikir dia melakukan banyak kerja dengan India dan meningkatkan kaedah melakukan flick pasukan ke tahap lain apabila mereka mula menghasilkan banyak gol.

"India digeruni daripada aspek pukulan sudut penalti sejak beliau mengambil alih," katanya.

Ciriello akan menggunakan pengalaman dan pengetahuannya dengan skuad lelaki dan wanita remaja serta pasukan senior wanita.

Antara pencapaian terbaik Ciriello ialah membantu Australia menjuarai Piala Dunia 2014, meraih dua pingat emas Sukan Komanwel pada edisi 2010 dan 2014 serta merangkul gangsa Sukan Olimpik 2012.

Ciriello meledak 116 gol daripada 199 penampilan di pentas antarabangsa selama sembilan tahun bersama Australia dari 2008 sehingga 2017.