Jangan ada sikap balas dendam, cari salah kerajaan - Sultan Johor

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar tidak mencari salah kerajaan dan bersikap membalas dendam.

Baginda bertitah, pembangkang di negeri ini bukan sekadar membangkang sebaliknya mereka juga adalah pengimbang kepada segala cadangan dan tindakan kerajaan negeri.

"Gelaran pembangkang yang diberikan kepada ADUN di pihak bukan kerajaan, kurang sesuai.

"Ini kerana peranan mereka bukan hanya membangkang segala cadangan pihak kerajaan, tetapi mereka bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

"Namun begitu jangan ada sikap balas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ke Dua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Sultan Ibrahim bertitah tingkah laku dan imej setiap ADUN perlu selari dengan gelaran 'Yang Berhormat' dan menjaga kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya tiada masalah dengan pihak pembangkang. Mereka boleh menghadap saya dan beri pendapat serta idea mereka.

"Saya amat berharap keadaan politik yang stabil ini terus dikekalkan. Dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan Johor," tambah baginda.

Baginda turut berpuas hati dengan prestasi kerja Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan exco, namun kerajaan negeri perlu berusaha untuk lebih cekap dan memajukan negeri ini.

"Pengurusan kewangan kerajaan negeri, selalu saya tekankan. Kerajaan negeri mesti mempunyai kewangan kukuh dan tidak menanggung hutang yang banyak.

"Syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang berjaya rekodkan lebihan hasil pada tahun lepas berbanding baki defisit pada tahun sebelumnya.

"Walaupun lebihan itu tidak besar, sekurang-kurangnya kita tidak belanja lebih dari hasil yang kita kutip," katanya.