Polis rakam keterangan penerbit, pelakon Mentega Terbang

Mentega Terbang yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan juga artis.
Mentega Terbang yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan juga artis.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis bertindak memanggil serta merakam percakapan membabitkan penerbit dan enam pelakon Mentega Terbang pada Selasa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua yang terlibat telah diambil keterangan semalam sekitar jam 1 tengah hari.

Beliau berkata, kesemua yang telah hadir ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi memberi keterangan.

"Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu polis telah mengambil rakaman percakapan pengarah dan seorang pelakon filem Mentega Terbang pada Jumaat.

Pada 6 Mac lalu, polis telah menerima lapan laporan berhubung filem yang mengandungi babak berunsur liberal.

Ekoran itu, satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan filem tersebut.

Mentega Terbang menjadi tular ekoran sedutan babak dalam filem tersebut memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islam untuk dimakan.

Selain itu, terdapat babak memaparkan bapanya membenarkan Aisyah untuk keluar daripada Islam (murtad) dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan netizen yang mempersoalkan bagaimana filem sebegitu dibenarkan untuk tontonan umum.