KPDN cadang perkenal pinjaman, insurans kenderaan Rahmah

Salahuddin (tengah) dan Ameer Ali (dua dari kanan) ketika melancarkan Bazar Ramadan Menu Rahmah di Pasaraya Mydin pada perasmian Kempen Mydin "Klasiknya Raya" pada Rabu.
Salahuddin (tengah) dan Ameer Ali (dua dari kanan) ketika melancarkan Bazar Ramadan Menu Rahmah di Pasaraya Mydin pada perasmian Kempen Mydin "Klasiknya Raya" pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - [KEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk memperkenalkan kemudahan pembiayaan pinjaman dan insurans kenderaan terpakai untuk golongan B40 di bawah inisiatif Payung Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN akan bertemu dengan institusi perbankan dan pihak insurans bagi membincangkan inisiatif berkenaan.

“Ideanya dah ada, untuk seterusnya kita akan adakan sesi libat urus. Mungkin dengan pemain industri perbankan saya akan adakan pertemuan minggu depan.

"Malah pihak pengurusan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) juga telah nyatakan bahawa mereka mungkin tawarkan pinjaman istimewa kepada B40.

"Begitu juga dengan pihak insurans, mungkin akan ada insurans kita boleh bagi kepada wanita, belia selain wujudkan insurans kereta terpakai buat rakyat yang tidak mampu membeli kereta baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Klasiknya Raya Mydin di bawah Payung Rahmah di Pasar Raya Besar Mydin USJ pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin.

Mengulas lanjut, Salahuddin memberitahu, beliau telah mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans mengenai cadangan insurans Rahmah untuk kereta terpakai itu pada Selasa.

“Semalam saya berbincang dengan salah sebuah syarikat insurans kerana kereta terpakai contohnya ada yang berisiko alami kerosakan besar seperti di bahagian enjin dan kotak gear.

"Jadi mungkin akan ada insurans Rahmah yang boleh ditawarkan kepada rakyat yang memang tidak mampu beli kereta baharu dan hanya mampu pakai kereta terpakai sahaja. Tapi (kita mahu) ada skim perlindungan untuk kereta mereka. Itu konsep yang telah kita fikirkan,” ujar beliau.

Salahuddin menjelaskan, beliau juga telah berjumpa dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin lalu bagi mendapatkan pandangan dan cadangan dalam mengadakan perbincangan dengan bank tempatan.

Tambahnya lagi, Tengku Zafrul memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai lagi inisiatif di bawah Payung Rahmah.

“Zafrul sangat memberi kerjasama dan sokongan. Beliau akan usahakan untuk saya berjumpa dengan tokoh-tokoh bank supaya perbincangan itu dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Kata Salahuddin, Tengku Zafrul sebelum ini turut membantu kementeriannya mempromosikan inisiatif Payung Rahmah menerusi akaun TikTok bekas Menteri Kewangan berkenaan yang mempunyai pengikut hampir 5 juta orang.