Tiada kelas akademik minggu pertama sesi persekolahan

Pkharuddin ketika menyampaikan Amanat Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan Tahun 2023/2024 di Kementerian Pendidikan pada Rabu. - Foto Bernama
Pkharuddin ketika menyampaikan Amanat Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan Tahun 2023/2024 di Kementerian Pendidikan pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

"Fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah," katanya dalam sidang media sempena amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024, di sini pada Rabu.

Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan A, manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.

Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Kalau dahulu fokus hari pertama terus mengajar subjek akademik tetapi kali ini kita minta sekolah merapatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti. Semua ini akan bangkitkan satu semangat iaitu saling menyokong sudah diterjemah di awal persekolahan," katanya.

Pkharuddin berkata, Pekeliling Bilangan 5 Tahun 2023 memberi panduan kepada sekolah-sekolah untuk mengadakan program atau aktiviti yang bersesuaian bagi menyediakan pelajar dari segi sosial dan mental.

Katanya nilai-nilai jasmani, emosi, rohani dan sosial diutamakan dahulu bagi membentuk pelajar menjadi beradab, berakhlak dan berintegriti.

Bagaimanapun, beliau berkata sekolah dengan bilangan pelajar tidak ramai dan telah selesai melaksanakan aktiviti tersebut boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran.

Pkharuddin dalam pada itu berkata, sebarang bentuk pertandingan, sambutan, majlis yang tidak memberi impak besar dimansuhkan mulai sesi persekolahan 2023/2024 sebagai inisiatif segera menangani isu beban tugas guru.

Kekerapan semakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) pula dikurangkan kepada setahun sekali mulai sesi persekolahan ini, berbanding sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebelum ini, katanya.

Beliau berkata, sambutan Hari Guru juga dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, berbanding sebelum ini membabitkan peringkat negeri dan daerah.

"Para pendidik juga diberikan autonomi dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bilik darjah dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan," katanya.

Bagi menangani isu beg berat, Pkharuddin berkata, antara usaha dilaksanakan bagi sesi ini ialah penyediaan lokar, penggunaan buku aktiviti yang disediakan kementerian dan penggunaan buku kerja hanya sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu kelas.

Selain itu, katanya, buku latihan dihadkan pada dua buah untuk setiap mata pelajaran pada satu-satu masa serta tidak melebihi 80 muka surat. - Bernama


Sesi persekolahan kembali bermula Januari perlu masa

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) belum bercadang untuk mengembalikan sesi persekolahan bermula Januari seperti sebelum pandemik COVID-19 dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Dalam sidang media sempena majlis amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di sini hari ini, beliau berkata antara pertimbangan yang perlu diambil kira adalah berkaitan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun, selain melibatkan pengorbanan cuti.

"Sebenarnya boleh kembali (sesi persekolahan pada Januari) dengan cepat dengan mengorbankan cuti-cuti yang ada. Tapi, kalau sekolah tidak cuti bila waktu rehat bagi guru, pelajar dan ibu bapa?

"Kalau nak kembalikan semula, kena kekalkan 190 hari dan anjak sedikit demi sedikit. Ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat dan akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,” katanya.

Pkharuddin berkata sesi persekolahan sekarang perlu dilihat dari sudut positif seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada waktu cuti selama empat minggu pada Februari dan Mac, yang dapat mengelakkan Monsun Timur Laut.

"Kita cuba sebaik mungkin memberi keselesaan terbaik kepada semua pihak. Ada pihak mungkin perlukan perkara yang lebih selesa untuk anak-anak ambil peperiksaan, tapi ada pihak pula yang perlukan masa cuti di hujung tahun sebagai tempoh sesuai untuk mereka melancong,” katanya. - Bernama