Pilihan raya PBT: Mapim sokong kenyataan PM

MOHD AZMI
MOHD AZMI
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim berpendapat ahli majlis kerajaan tempatan seharusnya dilantik berdasarkan merit dan nisbah kaum di sesebuah kawasan bagi menggelakkan PBT menjadi medan persaingan politik antara kaum yang dapat membawa kepada budaya tidak sihat.

Sebelum ini, Menteri Wilayah, Khalid Samad dilaporkan berkata pilihan raya PBT boleh diuji bermula di Shah Alam walaupun terdapat kegusaran mengenai keseimbangan kaum.

Memetik laporan berita portal, beliau berkata proses memilih ahli majlis tempatan termasuk datuk bandar tidak wajar dibuat sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengatakan kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya PBT berikutan kebimbangan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata pilihan raya PBT tidak memberi sebarang manfaat dalam membangunkan sesebuah kawasan malah ia dibimbangi akan mewujudkan perbezaan dan konflik di kalangan perwakilan dalam majlis tempatan berdasarkan parti politik.

"Di peringkat kerajaan tempatan, adalah lebih baik tumpuan diberi kepada meningkatkan urus tadbir dan integriti.

"PBT tidak perlu menghabiskan wang untuk mengadakan pilihan raya dan belanjawan di peringkat kerajaan tempatan perlu disalurkan kepada keperluan bagi memenuhi kemudahan serta membangunkan prasarana yang sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan: