HCF, Karangkraf jalin kerjasama laksana IMCC

Surau Surau Nurul Hidayah di Kampung Nantabkan siap sepenuhnya pada 2019. (Gambar kecil: Joannes)
Surau Surau Nurul Hidayah di Kampung Nantabkan siap sepenuhnya pada 2019. (Gambar kecil: Joannes)
A
A
A

SHAH ALAM - Hidayah Centre Foundation (HCF) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf dalam memperkasa golongan mualaf di Sabah menerusi projek Integrated Masjid-Community Centre (IMCC).

Ketua Pegawai Eksekutif HCF, Joannes Lukas berkata, projek yang dijalankan semenjak tahun 2019 itu kini memfokuskan terlebih dahulu kepada masyarakat Islam di perkampungan Nantabakan, Keningau.

“Projek IMCC ini mengandungi empat fasa dengan yang pertama pembinaan surau yang diberi nama Surau Nurul Hidayah. Pembinaan ini bertujuan menjadi pusat aktiviti keagamaan dan pembelajaran kawasan tersebut. Alhamdulillah, projek ini sudah pun siap pada 2019.

“Sekarang ini hanya tinggal tiga fasa iaitu pembinaan rumah imam dan bilal, pusat komuniti serta pusat sukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, projek itu memberi penekanan terhadap tiga fasa dakwah organisasi tersebut iaitu mendidik, membimbing dan memperkasa.

Justeru beliau berkata, dengan pembinaan lengkap IMCC tersebut, ia berupaya menjadi pusat kegiatan ekonomi dan pembangunan kemahiran setempat perkampungan berkenaan dan kawasan lain yang berhampiran.

“Ini adalah usaha untuk menyebarkan dakwah Islam secara berkesan di luar bandar Sabah dan akan menjadi model pertama di Malaysia yang boleh dicontohi.

“Sekiranya berjaya, HCF juga akan menumpukan projek ini di kawasan lain,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam rangka menyiapkan fasa kedua projek tersebut iaitu pembinaan rumah imam dan bilal.

“Alhamdulillah, sekarang kita dah berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000, kita sasarkan untuk dapat RM200,000 namun sekiranya berjaya mendapat dana sekitar RM50,000 sehingga Ramadan ini, kita akan mulakan pembinaannya,” jelasnya

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank HCF (5505 1085 0017).