Pengeluaran KWSP: Pembangkang hentilah hasut rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
TAHUKAH kita apa itu skim KWSP? Skim KWSP adalah simpanan hari tua dan sebab itulah majikan diwajibkan mencarum.

Sebagai simpanan hari tua, pengeluaran KWSP tidak boleh dikeluarkan sehinggalah berumur 55 tahun atau pencen, tetapi semasa negara dilanda wabak Covid-19, kerajaan membenarkan simpanan ini dikeluarkan bagi meringankan beban rakyat.

Pada 9 Mac 2023, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, PM mengemukakan cadangan membenarkan mereka yang terdesak dan mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mencagarkan caruman mereka di bank.

Cadangan ini dibantah oleh NGO dan ahli politik pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.

Permainan politik sebegini adalah cukup tidak bertanggungjawab. Bahaya Malaysia bila ada orang politik semacam ini. Sedih bila ada orang politik mengapi-apikan rakyat supaya membenci dan menolak cadangan DSAI.

Memikirkan masa depan rakyat di hari tualah, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan idea untuk cagarkan KWSP. Beliau sediakan jala untuk rakyat mencari ikan, bukannya memberi rakyat makan ikan.

Cadangan PM ini baik dan praktikal. Duit KWSP yang jadi cagaran itu masih dalam simpanan. Tiap tiap tahun dividend bertambah. Kalau tidak bayar, barulah bank mengambil cagaran itu.

Sekurang-kurangnya inisiatif PM dengan membenarkan Simpanan KWSP sebagai cagaran dan dipersetujui pihak bank adalah satu solusi untuk rakyat.

Modal KWSP tidak hilang. Dividen KWSP yang bayarkan pinjaman bank. Kalau keluarkan simpanan KWSP bukan sahaja duit tidak ada, dividen pun tidak dapat.

Nasihat saya kepada yang menentang cadangan PM ini, hentilah apikan rakyat, sebaliknya berilah cadangan yang lebih bernas. Didik rakyat supaya bijak berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak.

Desak kerajaan supaya hapuskan rasuah, buka peluang pekerjaan, kawal harga barang dan seumpamanya yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Memahami DSAI, beliau adalah terbaik dalam mengajar rakyat berhemah, mengajar rakyat mengurus kewangan keluarga, mengajar rakyatnya berdikari. Pembangkang, hentilah hasut rakyat dan bimbinglah mereka supaya berjimat.

*Datuk Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri