Lelaki orang asli lemas ketika menjaring ikan

Mayat mangsa ditemukan di dasar sebuah bekas lombong di Solok Menggong, Machap Umboo pada Selasa. Gambar kecil: Jerrey Juli
Mayat mangsa ditemukan di dasar sebuah bekas lombong di Solok Menggong, Machap Umboo pada Selasa. Gambar kecil: Jerrey Juli
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki orang asli yang dipercayai hilang ketika menjaring ikan ditemukan lemas di sebuah bekas lombong di Solok Menggong, Machap Umboo di sini pada Selasa.

Mangsa, Jerrey Juli, 34, yang merupakan pekerja kontrak dari suku kaum jakun ditemukan lemas di dasar lombong itu jam 9 pagi oleh pasukan penyelamat di air (PDPA) kira-kira 14 jam selepas dilaporkan hilang.

Isteri mangsa, Selipang Sajan, 30, berkata, mereka sekeluarga bersama dua anaknya berusia enam dan 10 tahun serta adik ipar ke bekas lombong itu lebih kurang jam 5 petang semalam.

Menurutnya, lokasi itu merupakan tempat yang selalu mereka mencari ikan, namun tidak menyangka berakhir dengan tragedi.

Katanya, kebiasaannya setiap kali menjaring ikan suaminya gemar menyelam kerana boleh menahan nafas dalam tempoh lama.

"Namun semalam (Isnin) kira-kira 40 minit kami pelik apabila suami tak timbul-timbul dan berusaha mencarinya tapi gagal.

"Selepas itu, saya segera menghubungi panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan," katanya yang merupakan Orang Asli Temuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan mayat mangsa ditemui lemas pada jam 9.15 pagi.

"Mayat mangsa dihantar telah ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya.