Pengukuhan dolar AS tak jejas pendapatan, perbelanjaan kerajaan

Anwar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini tidak menjejaskan hasil dan perbelanjaan kerajaan meskipun harga makanan, terutamanya import benih dan baja menerima tempias berikutan kelemahan ringgit berbanding mata wang berkenaan.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ringgit masih kekal positif berbanding mata wang pound Britain, yen Jepun dan dolar Australia, yuan China dan rupiah Indonesia.

''Nasib baik pendedahan kita kepada hutang berdasarkan dolar AS jauh lebih rendah daripada sebelumnya dan seperti yang saya sebut, bayaran dolar AS ini termasuk hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB)," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum itu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) meminta kerajaan menyatakan kekuatan fiskal negara ekoran mata wang ringgit yang semakin lemah dan solusi bagi mengimbangi situasi itu.

Anwar berkata, pengukuhan dolar AS berbanding ringgit didorong kenaikan kadar faedah di negara itu berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) yang kini berada pada 2.75 peratus.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad mengenai langkah Malaysia berhadapan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, beliau yakin BNM akan mengambil langkah terbaik menangani perkara ini.

''Saya kira kawalan BNM mengambil kira semua faktor ini. Sebab itu dalam perjumpaan terakhir minggu lalu, mereka mengambil keputusan mengekalkan kadar faedah dan pada waktu yang sama dapat pertahankan kekuatan ringgit dan inflasi dalam negara kita.

''Saya percaya BNM dalam menilai perkara ini juga mengambil kira inflasi yang sekarang ini belum meningkat dan oleh yang demikian masih dapat bertahan selain pada ketidakupayaan kita mengawal perkembangan di Amerika Syarikat,'' katanya.

Menurut Anwar, inflasi negara masih di landasan unjuran 3.3 peratus bagi 2022 dan dijangka terus kekal pada kadar berkenaan bagi 2023 jika tidak semakin berkurangan.

Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) membangkitkan mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada sasaran 3.2 peratus menjelang 2025 dan untuk ini, Anwar berkata unjuran defisit bagi 2023 dan tahun-tahun ke hadapan 'munasabah' melihat kepada hasil yang bakal diraih.

Katanya, selain pengurangan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19, hasil daripada penyelesaian International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai AS$1.8 bilion dan ketiadaan pembayaran hutang 1MDB bagi tahun hadapan.

''Untuk tahun ini kita belum belanja apa-apa lagi untuk Covid-19. Satu hal lain yang masuk bagi 2023 ialah wang 1MDB yang harus dibayar tahun ini sekitar RM13.5 billion tetapi ini 'one-off'. Tahun hadapan jumlah ini tidak termasuk perkiraan," jelas Perdana Menteri. - Bernama