Hairi sah menang Naib Ketua Pemuda UMNO

Hairi
Hairi
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Hairi Mad Shah sah menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu menang tipis dengan 87 undi menewaskan pencabarnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham yang memperoleh 84 sokongan.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

“Kemenangan Hairi bagi jawatan Naib Ketua Pemuda hanya ditentukan pada jam 12 tengah hari tadi selepas semua keputusan daripada bahagian diterima,” katanya pada Isnin.

Menurutnya, persaingan bagi jawatan itu sangat sengit dengan hanya enam undi memisahkan Mohd Hairi Mad Shah yang memperoleh 85 undi dan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dengan 79 undi setakat jam 8 malam hari tersebut.

Beliau berkata, bagi jawatan ketua pemuda pula, ia dimenangi Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Melaka, Dr Mohd Akmal Salleh dengan 122 undian menewaskan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Dalam perkembangan lain Shahrir menambah, pihaknya telah menerima 10 bantahan daripada semua bahagian UMNO membabitkan enam daripada sayap Wanita dan empat bantahan Pemuda.

“Bantahan yang diterima JPU setakat ini adalah bagi Wanita di bahagian Kuala Kedah, Kulim Bandar Baru, Pekan, Pasir Salak, Sungai Besar dan Rompin.

“Sementara Pemuda di bahagian Sekijang, Langkawi, Kuala Krau dan Temerloh,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa esok merupakan hari terakhir bagi sebarang bantahan dibuat daripada mana-mana bahagian.

Pada Ahad, Shahrir memaklumkan hanya keputusan pertandingan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan sayap parti itu yang belum boleh dimuktamadkan berbanding jawatan lain.

Beliau berkata, masih terdapat lapan lagi bahagian belum menghantar keputusan undian mereka kepada Ibu Pejabat UMNO.