UPTM jadi pencetus perubahan, bangun profesional beretika - TPM

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) memainkan peranan menjadi pencetus perubahan dalam misi membangunkan profesional beretika, holistik serta menguasai teknologi kontemporari.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyarankan agar UPTM memberikan tumpuan kepada usaha transformasi kemahiran tatacara kerja dan kualiti pengajaran warga kerja selari adunan terkini.

Katanya, penerapan nilai budaya kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berkesan akan menjadikan UPTM lebih disegani.

"Selain itu, bertepatan dengan keperluan dalam era Revolusi Industri 4.0, UPTM perlu melaksanakan transformasi digital agar terus relevan dengan keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh.

"Ini selaras hasrat UPTM untuk menjadi sebuah kampus pintar dan pelaksanaan inisiatif ini sejajar saranan kerajaan dalam memperkasakan agenda digital di negara ini," katanya dalam ucapan pada Majlis Pemasyhuran UPTM di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Sebelum diberi penarafan sebagai universiti penuh, UPTM sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Poly-Tech MARA.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan penaiktarafan itu, beliau juga mahu UPTM memperkasakan kerjasama strategik dengan pemain industri, agensi atau syarikat kerana langkah itu mampu meningkatkan peluang graduan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Untuk rekod, UPTM menawarkan 28 program pengajian berkualiti meliputi dua program ijazah doktor falsafah, lima program ijazah sarjana, 12 program ijazah sarjana muda, dua program perakaunan profesional, empat program diploma dan tiga program asasi yang kesemuanya mendapat permintaan tinggi dan sentiasa relevan dengan keperluan industri. - Bernama