Kestabilan politik penting dalam pembangunan negeri

Tun Mohd Ali Rustam
Tun Mohd Ali Rustam
A
A
A

MELAKA - Kestabilan politik kekal menjadi faktor penting dalam pembangunan negeri.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam berkata, tiada pelabur asing berminat untuk melabur di negeri ini sekiranya situasi politiknya tidak stabil.

"Justeru saya amat berharap agar wakil-wakil rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanat yang telah diberikan oleh rakyat.

"Merangka dasar-dasar pembangunan negeri yang mampu menarik lebih banyak pelabur demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada Isnin.

Beliau turut mengingatkan ketua menteri dan barisan kepimpinan kerajaan untuk menumpukan usaha melunaskan janji-janji pilihan raya.

Menurutnya, ia adalah amanah yang perlu digalas dan perlu bekerja lebih kuat untuk memahami denyut nadi rakyat dan membantu keperluan rakyat.

"Saya menyeru semua pihak dapat bersama-sama memacu pembangunan ekonomi negeri dengan meningkatkan produktiviti, mempertingkat kecekapan tadbir urus dan tata kelola.

"Serta memastikan limpahan ekonomi secara inklusif khususnya dalam kita mengharungi pasca Covid-19," katanya..

Dalam pada itu, Mohd Ali turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 serta kepada seluruh barisan jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di atas segala jasa dan sumbangan bakti beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri kesembilan.

"Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

"Berharap kedua -dua yang berhormat dapat membantu menyalurkan lebih banyak bantuan dan peruntukan daripada kerajaan persekutuan kepada pasukan tentera di Melaka.

"Seperti menambah baik infrastruktur kem, aset-aset pertahanan dan juga pembangunan belia dan sukan di Melaka," ujarnya.