KPT wujudkan jawatankuasa khas kaji dasar pendidikan tinggi

KPT sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab untuk membuat semakan dan kajian ke atas dasar-dasar pendidikan tinggi nasional. - Gambar hiasan
KPT sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab untuk membuat semakan dan kajian ke atas dasar-dasar pendidikan tinggi nasional. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab untuk membuat semakan dan kajian secara mendalam, terperinci serta objektif ke atas dasar-dasar pendidikan tinggi nasional.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, mandat dan matlamat utama jawatankuasa ini adalah untuk melihat kekurangan dan kelemahan serta kekuatan dasar-dasar sedia ada dan seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.

Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, keahlian jawatankuasa melibatkan tokoh-tokoh dalam pendidikan tinggi dan terkemuka industri yang boleh menyumbang idea dan buah fikiran yang bernas secara holistik bagi meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian pendidikan tinggi.

“Jawatankuasa ini akan diperuntukkan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang bakal menjadi asas pembangunan pelan induk pendidikan tinggi negara kita.

“Dasar-dasar yang dilihat sudah tidak relevan akan dihentikan, manakala yang dilihat lemah akan ditambah baik dan diperkemas.

“Pada masa yang sama, dasar-dasar baharu yang dilihat relevan dan perlu berdasarkan cabaran dan perkembangan semasa akan dicadangkan.

“Semua ini bertujuan memastikan, pada peringkat dasar dan polisi, kita mempunyai hala tuju dan pendirian yang jelas, kemas dan terbaik,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang meminta kementeriannya menyatakan langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk merealisasikan reformasi pendidikan di kalangan institut pengajian tinggi di negara ini.

Tambahnya, bertepatan dengan ucapan perutusan tahun baharu 2023, KPT juga telah mengutarakan 11 azam yang akan menjadi fokus utama dalam melonjakkan sektor pendidikan tinggi negara.

Antara fokus yang disenaraikan itu katanya adalah memastikan hala tuju dan aspirasi nasional diberikan perhatian oleh institut pengajian tinggi (IPT).

“Turut menjadi fokus adalah memperkasakan mahasiswa dengan memberikan gerakan mahasiswa lebih banyak tanggungjawab dan peranan khususnya dalam hal-hal yang melibat aktivisme dan kepimpinan kumpulan itu,” katanya.