Proton masih penuhi kriteria diberikan status kereta nasional

Proton. (Gambar kecil: Liew Chin Tong)
Proton. (Gambar kecil: Liew Chin Tong)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memenuhi kriteria yang digariskan menjadi faktor Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) masih diberikan status pengeluar kereta nasional oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, ketetapan itu diambil di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dengan kriteria-kriteria yang ditetapkan sebagai Projek Kereta Nasional boleh dijadikan panduan mengenai status tersebut.

Menurutnya, antara kriteria yang digariskan itu adalah majoriti pemilikan tempatan; memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian pembekalan tempatan; menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)tempatan dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Berdasarkan status semasa, Proton masih memenuhi kriteria tersebut sebagai contoh, Proton telah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, iaitu sekitar 8,500 orang di mana 99 peratus adalah rakyat tempatan.

“Selain itu, Proton telah melantik lebih 180 syarikat tempatan Tahap-1 dalam rantaian pembekalan keseluruhannya, dan nilai purata perolehan tempatan adalah di antara 75 peratus sehingga 80 peratus terutamanya bagi model-model yang dibangunkan secara tempatan sepenuhnya.

“Proton juga telah menjalankan aktiviti R&D tempatan bagi membolehkan Proton membuat platform, upper body dan enjin sendiri bagi model-model seperti Persona, Iriz, Exora, Saga dan pelbagai model lain sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang memintanya menyatakan mengapa Proton masih diberikan pelbagai layanan istimewa memandangkan ia bukan lagi kereta nasional, malah miliknya juga hanya 51 peratus dikuasai oleh warga Malaysia.

Tambah Chin Tong lagi, Selain Proton, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) juga adalah syarikat pengeluar kereta nasional yang memberi sumbangan kepada pembangunan ekosistem industri automotif tempatan seperti peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, pembangunan rantaian pembekalan tempatan dan R&D.

Justeru katanya, berdasarkan kepada sumbangan Proton dan Perodua kepada industri automotif tempatan, kedua-dua syarikat masih diberi layanan sebagai pengeluar kereta nasional.

“Walau bagaimanapun, Proton dan Perodua hendaklah memastikan bahawa kriteria-kriteria yang digariskan di bawah NAP 2020 dipatuhi.

“Dengan adanya kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah NAP 2020, mana-mana syarikat selain Proton dan Perodua yang dapat memenuhi kriteria-kriteria tersebut juga layak dipertimbangkan untuk diberi layanan sebagai Projek Kereta Nasional,” katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan MITI akan sentiasa memantau pematuhan Proton dan Perodua ke atas kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

MITI juga katanya, bersedia untuk mengemaskini dasar dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan industri automotif global.