Pukul adik sebab enggan ke kedai

Mangsa menolak menyebabkan suspek yang berang kemudian datang ke arah mangsa yang sedang baring sebelum memijak kaki dan bahu kanan serta menumbuk kepalanya. - Gambar hiasan
Mangsa menolak menyebabkan suspek yang berang kemudian datang ke arah mangsa yang sedang baring sebelum memijak kaki dan bahu kanan serta menumbuk kepalanya. - Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG JAYA - Seorang lelaki kurang upaya diberkas selepas dipercayai memukul adik kandungnya kerana mangsa tidak mahu menemaninya ke kedai dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika wanita berusia 20 tahun itu berada di rumah bersama dengan suspek.

"Suspek pada mulanya mengajak mangsa menemaninya ke kedai untuk membeli barang.

"Mangsa menolak menyebabkan suspek yang berang kemudian datang ke arah mangsa yang sedang baring sebelum memijak kaki dan bahu kanan serta menumbuk kepalanya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

"Laporan polis yang dibuat mangsa membawa kepada penangkapan suspek berumur 31 tahun di lokasi kejadian.

"Suspek yang pekak dan bisu itu didapati tiada sebarang rekod kesalahan atau jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Kesekssan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga untuk siasatan lanjut.