Penggunaan buku teks digital perlu berfasa - iGuru

Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil: Mohd Azizee
Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil: Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik dan bersetuju dengan usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengurangkan beban berat guru melalui penggunaan buku teks digital.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan bagaimanapun berharap usaha ini tidak menyusahkan banyak pihak khususnya ibu bapa, murid dan pihak sekolah terutama yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Usaha ini perlu dilakukan secara berfasa dengan mengambil kira status dan kedudukan sekolah kerana tidak semua sekolah berada di kawasan yang memiliki akses internet yang baik.

"Justeru, pihak KPM khususnya kerajaan perlu meningkatkan kualiti akses capaian internet terutama di tempat- tempat yang berdepan masalah internet seperti di pedalaman dan luar bandar. KPM perlu bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk meningkatkan jalur lebar ke 5G," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, pada masa sama KPM perlu memastikan kemudahan pembelajaran digital seperti smart board, smart televisyen, komputer riba,telefon pintar dan alat peranti disediakan secukupnya.

"Mana-mana sekolah yang menghadapi masalah boleh mengekalkan penggunaan buku teks fizikal bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan serta mengelakkan keciciran pendidikan.

"Selain itu, guru-guru perlu diberikan latihan secukupnya bagi memastikan penggunaan buku teks digital berada di tahap optimum," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan KPM masih meneruskan usaha menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk daripada buku teks fizikal kepada digital, bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying bagaimanapun menjelaskan usaha itu agak terhad, dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah di seluruh negara.