Bibi Sharliza menang Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah

Bibi Sharliza
Bibi Sharliza
A
A
A

KUALA PILAH - Isteri bekas Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menang Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah dalam pemilihan parti itu pada Sabtu.

Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menewaskan pencabarnya, Suzlyana Mahayuddin dan June Artisha Mohamad Nazari.

Bibi Sharliza ketika dihubungi Sinar Harian berkata, akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan penuh dedikasi demi bangsa, agama dan negara.

"Saya mengakui pemilihan kali ini sangat mencabar berikutan saya berlawan dengan penyandang ketua wanita bahagian dan juga ketua puteri negeri berbanding saya yang cuma berada dalam peringkat cawangan.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan mereka juga mempunyai kekuatan tersendiri," katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Pekan Lama pada Ahad.

Bibi Sharliza yang sudah berada dalam arena politik sejak 21 tahun lalu berkata, fokus utamanya selepas ini tentulah untuk membuat persediaan bagi pilihan raya negeri (PRN) selain mengambil kira perubahan yang perlu dilakukan Wanita UMNO.

"Saya berpandangan Wanita UMNO perlu dikemas kini dan lebih efektif untuk menghadapi pilihan raya, maknanya Wanita UMNO kena bergerak lebih cekap daripada sedia ada contohnya data, cara meraih undi, bergaul dengan rakyat selain memperbaiki pendekatan melalui sosial media.

"Sebab wanita tak boleh berada ditakuk yang lama sahaja. Wanita sekarang pun guna sosial media bercakap isu-isu wanita mesti ada respon dengan peringkat nasional. Ini pandangan saya.

"Justeru, kalau kita di peringkat UMNO dapat memainkan peranan ini saya yakin rakyat akan lebih percaya kepada UMNO," ujarnya.

Sementara itu, dalam pemilihan sama di peringkat sayap puteri pula, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Pilah dimenangi Nur Atiqah Aliyas yang menang tanpa bertanding manakala ketua pemudanya berdepan dengan pertandingan dua penjuru dimenangi Mohamad Qayyum Abd Jalil selepas lawannya, Mohd Faizal Azizan kecundang.