PSI akan diluluskan jika penuhi syarat ketat EIA - Nik Nazmi

Nik Nazmi (dua dari kanan) menyaksikan Kon Yeow merasmikan Majlis Perasmian Karnival Alam Kita 2023 di Stadium Batu Kawan pada Ahad.
Nik Nazmi (dua dari kanan) menyaksikan Kon Yeow merasmikan Majlis Perasmian Karnival Alam Kita 2023 di Stadium Batu Kawan pada Ahad.
A
A
A

BATU KAWAN - Penilaian Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) perlu dilakukan secara teliti kerana ia melibatkan projek tambakan berskala besar.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, proses penilaian laporan tersebut sedang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum ia diluluskan.

Menurutnya, JAS dijangka akan mengambil beberapa bulan untuk meneliti laporan EIA terbaharu yang dihantar Kerajaan Pulau Pinang sebelum keputusan dibuat.

"Seperti yang kita tahu, laporan EIA projek PSI ini telah dihantar pada 2018/2019 yang mana, ia lulus ketika itu namun, selepas rayuan dibuat (oleh beberapa pihak), ia telah dibatalkan. Susulan daripada itu, kerajaan negeri telah beberapa kali menghantar semula laporan EIA kepada JAS untuk dinilai.

"Yang terbaharu adalah pada Januari lalu dan masih belum diluluskan. Sudah tiga kali ia dihantar dan ditolak kerana ada beberapa perkara yang perlu kerajaan negeri penuhi (permintaan JAS). JAS akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk meneliti laporan terbaru tersebut sebelum keputusan dibuat.

"Oleh itu, ia perlu melalui proses-proses kerana setiap projek tambakan memang ada risiko. Sebab itu proses kelulusan laporan EIA tersebut perlu dibuat dengan amat teliti kerana kita mahu memastikan kesan kepada alam sekitar itu dapat dimitigasikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Alam Kita 2023 di Stadium Batu Kawan di sini pada Ahad.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Kon Yeow mengesahkan, laporan EIA bagi PSI sudah memasuki peringkat akhir untuk mendapat kelulusan daripada JAS yang mana, laporan tersebut akan dibawa ke mesyuarat teknikal pada bulan ini untuk dimuktamadkan keputusan sama ada projek mega tersebut boleh dimulakan atau sebaliknya.

Mengulas mengenai laporan EIA yang terbaru itu, Nik Nazmi berkata, laporan tersebut sedang menjalani proses penilaian selepas beberapa maklumat baharu diserahkan Kerajaan Pulau Pinang kepada JAS.

"Laporan EIA bagi projek itu ada tarikh tamat tempoh tetapi saya tidak pasti tarikh tersebut. Bagaimanapun, laporan versi terbaru itu sedang dinilai.

"Berhubung dakwaan bahawa penilaian laporan EIA bagi projek itu dibuat tanpa penelitian yang ketat, jika kita tengok, laporan ini beberapa kali telah ditolak kerana ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Sebab itu saya kata, proses penilaian amat teliti," katanya.

Sebelum ini, Nik Nazmi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata, laporan EIA bagi PSI masih belum diluluskan setakat ini dan dalam proses penilaian JAS.

Beliau berkata, sebarang isu berbangkit atau penemuan yang dikenal pasti semasa menilai laporan EIA itu, akan dikemukakan kepada penggerak projek serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang sebagai pihak berkuasa melulus projek itu.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

Bagaimanapun, banyak pihak termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Nelayan Pulau Pinang telah menentang projek tersebut kerana didakwa akan merosakkan alam sekitar di samping ekosistem hidupan laut.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kerajaan akan menyemak semula projek tebatan banjir yang belum dilaksana untuk dibuat secara tender terpilih (selective tender) atau secara pra kelayakan (pre qualified).

Bagaimanapun kata Nik Nazmi, ada juga projek yang akan dibuat secara tender terbuka bagi menjimatkan kos.

"Jika kerajaan lihat semula, ada beberapa projek tersebut adalah projek keutamaan yang mana ia boleh dibuat secara 'pre qualified' atau 'selective tender'.

"Jika yang lain, kita dibuat secara tender terbuka, lagi banyak bidaan masuk dan ia akan membolehkan penjimatan kos. Ia lebih bagus kerana ia membabitkan rundingan dengan banyak pihak berbanding rundingan dengan satu syarikat.

"Proses penilaian ini yang akan dibuat lagi teliti di peringkat Kementerian Kewangan. Kerajaan komited untuk menyiapkan projek-projek keutamaan. Kos yang dijimatkan itu, boleh digunakan untuk projek-projek lain," katanya.