Polis buru geng samun bersenjata

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN – Polis memburu sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan parang di Taman Benut Utama dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian samun itu dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 malam ketika mangsa, seorang wanita warga tempatan keluar dari kenderaannya untuk masuk ke rumah.

“Ketika mangsa berjalan semula ke keretanya, seorang lelaki tiba-tiba muncul dengan sebuah kenderaan sebelum seorang lelaki bersenjatakan parang menuju ke arah mangsa.

“Mangsa yang ketakutan terus melarikan diri ke rumah jiran berdekatan bagi mendapatkan bantuan.

“Bagaimanapun, tindakan pantas lelaki bersenjatakan parang itu telah mengambil harta milik mangsa yang berada di dalam kereta dan juga di dalam rumah sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, antara barang-barang yang berjaya disamun daripada mangsa melibatkan sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,200, dua pasang kasut, dokumen pengenalan diri, kad-kad bank dan juga buku simpanan institusi kewangan serta kunci rumah mangsa.

"Secara keseluruhannya, mangsa mengalami kerugian sekitar RM3,000 dan laporan polis telah dibuat manakala siasatan telah dibuat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan bersenjata.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat dalam akta yang sama," ujarnya.