Pemilihan UMNO: Pemimpin lama buat 'come back'

Megat Zulkarnain (dua dari kiri) meninjau keadaan pemilihan wanita bahagian Gombak yang berlangsung di KLMO pada Sabtu.
Megat Zulkarnain (dua dari kiri) meninjau keadaan pemilihan wanita bahagian Gombak yang berlangsung di KLMO pada Sabtu.
A
A
A

GOMBAK - Pemilihan UMNO kali ini diserikan dengan kehadiran orang lama yang membuat kemunculan semula untuk memimpin parti.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya tidak menafikan perkara itu dan menganggapnya sebagai perkembangan yang positif.

Menurutnya, antara yang menawarkan diri bertanding termasuk bekas pemimpin UMNO yang pernah pernah menjadi ketua bahagian, wakil rakyat mahupun Exco kerajaan negeri.

"Selepas kekalahan pada 2018 yang menyaksikan buat pertama kali UMNO hilang kuasa di peringkat pusat, ramai dalam kalangan mereka memberi laluan kepada tokoh baharu untuk memimpin dan memberikan sokongan dari belakang.

"Namun pada hari ini, kita lihat kemunculan semula (pemimpin lama) untuk bersama membantu, memeriahkan pemilihan seterusnya memimpin UMNO. Saya anggap ini satu petanda baik," katanya ketika hadir pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini pada Sabtu.

Beliau berpandangan, sokongan terhadap UMNO semakin pulih apabila pemilihan kali ini turut menyaksikan penyertaan golongan muda selain kumpulan profesional.

Di sebalik kemeriahan pemilihan, beliau menasihatkan ruang demokrasi tersebut tidak disalah guna untuk mengkritik atau merendahkan calon-calon lain sebaliknya perlu berlangsung seperti pertandingan adik-beradik.

"Pada saya, keputusan pemilihan ini tidaklah begitu penting, yang perlu diutamakan ialah menyiapkan pasukan kuat untuk hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Siapa juga yang menang tidak penting kerana semuanya ahli UMNO. Jangan sebabkan pertelagahan kerana untuk kita baiki semula kesatuan bukan mengambil masa yang pendek.

"Ia merugikan kita untuk berdepan dalam PRN akan datang," katanya.

Sebanyak 22 Bahagian UMNO di Selangor mengadakan pemilihan serentak bagi sayap Pemuda, Puteri dan Wanita pada Sabtu.

Di Gombak, seramai 504 perwakilan wanita layak mengundi bagi pemilihan kali ini.

Pemilihan Wanita Gombak menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila ketuanya, Roszilah Zainudin dicabar Zubaidah Suradi dan Noraziah Abdul Karim.