Sedih jawab soalan macam hendak bergaduh - Shahidan

Shahidan (kanan) menyampaikan anugerah kepada perwakilan Pas semasa hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-56 di Kota Bharu.
Shahidan (kanan) menyampaikan anugerah kepada perwakilan Pas semasa hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-56 di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemimpin Kerajaan Perpaduan tidak perlu beremosi dalam menjawab setiap soalan yang diajukan oleh pembangkang semasa sidang Parlimen berlangsung.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya tidak berminat untuk bergaduh sebaliknya fokus membela nasib rakyat.

"Kami adalah pembangkang yang berpengalaman dan mengkritik cara membina, bukan hendak cari pasal.

"Kerajaan perlu bersikap terbuka dan menerima kritikan. Bukannya mengherdik, menendang seperti hendak berlawan.

"Saya sedih, bila setiap soalan dijawab dalam bentuk hendak bergaduh," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu beliau hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-56 di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut beliau, sekiranya mahu berlawan boleh beralih ke gelanggang lain bukan di Parlimen.

Ujarnya, pembangkang mahu kerajaan hari ini menjadi lebih baik dengan teguran yang dibuat.