'Tiada jenayah serius di Seksyen 24'

Mohd Iqbal (enam dari kiri) dan Azli (lima dari kanan) bergambar bersama pasukan rondaan Persatuan Kepolisan Komuniti Seksyen 24.
Mohd Iqbal (enam dari kiri) dan Azli (lima dari kanan) bergambar bersama pasukan rondaan Persatuan Kepolisan Komuniti Seksyen 24.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Shah Alam memaklumkan tiada berlakunya kes jenayah serius di Seksyen 24 sepanjang tahun ini namun meminta semua pihak mengambil peduli sebarang aktiviti mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hanya dua kes jenayah dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan membabitkan kes kecurian motosikal.

"Untuk tahun ini bermula 1 Januari sehingga 9 Mac bagi kawasan Seksyen 24 cuma terdapat dua kejadian jenayah membabitkan kes kecurian motosikal berlaku di flat PKNS pada 11 Februari dan 9 Mac.

"Walaupun kes jenayah di kawasan ini (Seksyen 24) dikategorikan sebagai rendah tetapi kita jangan cepat merasa selesa dan hendaklah sentiasa ada perasaan berwaspada dan bersatu hati dalam memantau kawasan kejiranan serta ambil peduli dengan aktiviti-aktiviti mencurigakan," katanya pada program Cegah Jenayah 2.0 - Scammer di Seksyen 24 di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusuf.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan trend jenayah siber terus meningkat dalam negara tanpa mengira mangsa dan latar belakang termasuk pelajar yang tidak terlepas dengan jenayah ini.

"Bukan sahaja di Shah Alam tetapi di seluruh negara walaupun orang itu berpendidikan atau tidak, tua atau muda, lelaki atau wanita dan ini adalah trend yang berlaku dan menjadi antara cabaran yang kita hadapi," katanya.