Pemandu jentera maut dihempap kontena

Seorang pemandu jentera pengangkut di sebuah syarikat pembekal jentera maut akibat tersepit di dalam kabin pemandu selepas kenderaan itu dihempap kontena di terminal kontena di sini pada Khamis. - Gambar hiasan
Seorang pemandu jentera pengangkut di sebuah syarikat pembekal jentera maut akibat tersepit di dalam kabin pemandu selepas kenderaan itu dihempap kontena di terminal kontena di sini pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemandu jentera pengangkut di sebuah syarikat pembekal jentera maut akibat tersepit di dalam kabin pemandu selepas kenderaan itu dihempap kontena di terminal kontena di sini pada Jumaat.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, kejadian pada jam 10.13 pagi itu menyebabkan mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 41 tahun maut di lokasi kejadian.

Menurut JKKP, siasatan mendapati, mangsa yang merupakan pemandu jentera 'prime mover' di terminal kontena tersebut dikatakan telah membuat pusingan U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal.

"Ketika membuat pusingan U, kontena yang dibawa telah menghempap mangsa menyebabkan kepalanya tersepit di dalam kabin pemandu 'prime mover' tersebut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya pada Jumaat.

Kata kenyataan itu lagi, susulan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan satu Notis Larangan bagi aktiviti kerja pengendalian jentera 'prime mover' dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat JKKP Pulau Pinang.

"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab. JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja atau orang awam.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu jenis-jenis bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.

JKPP Pulau Pinang berkata, kejadian seperti itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).