Mangsa keganasan rumah tangga tidak dilindungi SKSSR

Mustafa (dua dari kanan) beramah mesra dengan petugas media selepas sesi Taklimat SKSPS dan SKSSR anjuran bersama Kelab Media Mutiara Pulau Pinang pada Jumaat.
Mustafa (dua dari kanan) beramah mesra dengan petugas media selepas sesi Taklimat SKSPS dan SKSSR anjuran bersama Kelab Media Mutiara Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kes keganasan rumah tangga tidak termasuk dalam faedah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Disember tahun lalu.

Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Mustafa Draman berkata, pihaknya kerap menerima pertanyaan terutama dalam kalangan wanita mengenai perkara itu termasuk daripada beberapa individu yang dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Menurutnya, SKSSR hanyalah untuk perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau sebarang insiden berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan.

“Sebagai contoh, bencana domestik boleh berlaku di dalam atau di luar rumah yang menyebabkan kecederaan diri kepada seseorang suri rumah akibat daripada dan semasa menguruskan rumah tangga.

“Kami dapati, ada beberapa mangsa (keganasan rumah tangga) datang untuk mendapatkan perlindungan skim ini dan pihak kami telah pun memberi penjelasan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi Taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan SKSSR anjuran bersama Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, bilangan pencarum SKSSR yang dilancarkan pada 1 Disember lepas mendapat sambutan positif dalam kalangan suri rumah.

Jelasnya, sejak dilancarkan sehingga 28 Februari lalu, seramai 10,544 pencarum direkodkan di Pulau Pinang.

"Mereka di dalam konteks ini ada yang telah pun meninggal dunia iaitu seramai tujuh orang dan layak mendapat manfaat seperti mana yang telah digariskan di dalam skim SKSSR,” katanya.

Justeru, pihaknya menyeru suri rumah warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk menjadi pencarum berikutan manfaat yang bakal diperoleh antaranya mendapat faedah perlindungan bencana domestik serta faedah perlindungan keilatan.

Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh melayari laman web rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my atau kunjungi pejabat Perkeso di cawangan negeri masing-masing.